Header Ads Widget

Responsive Advertisement

Ticker

Aktiviti seorang pelatih di Pusat Latihan Polis ( PULAPOL ) Langkawi.



Assalamualaikum. 

Aku akan senaraikan aktiviti-aktiviti yang dilakukan sepanjang berada di sana. Aku mulakan dengan aktiviti pagi yang bermula seawal Subuh. Aku dan rakan-rakan duduk berkumpul di dalam masjid sehingga masuk waktu Subuh dan terus berkumpul mengikut platun setelah selesai solat berjemaah. Tepat pukul 7, akan ada senaman pagi seperti warm in up (panaskan badan), berlari tanpa henti dan sekiranya ada masa untuk berhenti berlari, bukanlah digunakan untuk berehat tapi aku perlu buat push up, pumping star beserta jump star. Senaman pagi ini diteruskan sehingga pukul 8.30 pagi sehinggalah tiba waktu untuk sarapan pagi.

Menu sarapan yang disediakan di sana adalah kueh teow goreng, nasi goreng, bihun goreng, teh o panas dan kopi panas. Menu sarapan ini akan bertukar-tukar setiap hari dan senang cerita bila sampai di PULAPOL, aku kena makan apa yang disediakan. Seperti biasa etika di dewan makan kena jaga seperti beratur, kerusi tidak boleh berbunyi apabila diangkat, sudu garfu pun tidak boleh ada sebarang bunyi dan seorang pelatih akan baca doa makan.

Selepas sarapan pagi, aku dan rakan-rakan berkumpul mengikut platun dan berlari semula ke dorm untuk menukar pakaian kawad.  Pada pukul 9.50 pagi semua akan berkumpul di hadapan dorm dengan berpakaian kawad half uniform, berbaju tshirt, seluar slack uniform, tali pinggang putih dan kasut boot kawad. Untuk pengetahuan korang laluan untuk pergi ke padang kawad tu akan ada sebuah balai sambut di pintu hadapan PULAPOL. Di dalam balai tu, ada 2 orang anggota polis yang berkawal di pintu pagar. Antara tugasan anggota tersebut ialah menjaga PULAPOL, memberi tabik hormat kepada pegawai di PULAPOL dan anggota polis tersebut wajib menghafal setiap kereta yang dinaiki oleh pegawai di sini.

Mengenai kawad pula, aku dan pelatih lain telah diberi penerangan pada hari pertama kawad seperti pemakaian yang sesuai, kasut boot mestilah berkilat, tali pinggang dipakai dengan ketat untuk mengelakkan buasir, baju pula mestilah dimasukkan ke dalam (tuck in) dan seluar mestilah dalam keadaan kemas. Masuk bab pertama kawad kami diajar mengenai pergerakan statik dengan arahan yang jelas seperti squad squad sedia! Squad! Senang diri! Untuk menjadikan arahan kawad dengan sebutan lantang kami di ajar dengan arahan Squad! Squad... dia! (hanya menyebut hujung arahan saja) atau squad! senang....ri. 

Dengan teknik tersebut pergerakan kami akan jadi selari dan tajam. Sekiranya kami gagal melaksanakn pergerakan yang diberi, jurulatih akan denda semua pelatih dengan pumping 10 kali walaupun hanya kesalahan kecil. Korang bayangkan setiap kali ada yang buat salah, satu platun akan kena denda dan masa tu aku rasa jurulatih tidak adil hanya disebabkan orang lain yang buat salah tapi semua orang merasa denda. Lama-kelamaan aku mula faham tujuan sebenar jurulatih buat begitu. Beliau mahu menerapkan sifat kerjasama sesama pasukan dan disiplin yang sangat tinggi semasa kawad.

Lama kelamaan terik panas kian terasa seperti sang matahari berdiri tegak diatas kepala membuatkan aku mula berasa sangat lemah. Bermandi air peluh yang tidak boleh dilap walaupun hampir masuk ke dalam mata amat menyeksakan di samping didenda berkali-kali membuatkan aku hampir putus asa. Kemudian kami diajar oleh jurulatih mengenai bahagian-bahagian senjata api, seperti penjera hadapan, penjera belakang, laras, kelopak, picu, peluru, dan lain-lain. Bahagian paling penting adalah cara pengendalian senjata api dengan betul, cara ramasan picu yang betul, tenangan sasaran yang tepat pada sasaran, dan sebagainya. Aku mula cuba untuk memegang senjata api sebelum menjalani latihan menembak keesokan harinya. 


Apabila tiba masanya, aku berkumpul dihadapan pusat latihan, dan menaiki bas yang disediakan oleh PULAPOL untuk ke lapang sasar menembak. Sesudah sampai di sana, aku di asingkan mengikut group (detail) dan setiap detail ada 10 papan target. Setiap seorang daripada kami akan berdiri sejauh 15 meter dari papan target dengan memakai PPE yang disediakan seperti penutup telinga, cermin mata, arahan utk menembak seperti 'detail! Detail sedia! 2 kedudukan berdiri dan melutut sasaran dihadapan jalankan tembak!' Itu bermakna aku akan masukkan kelopak berisi peluru. Aku diberi 2 kelopak berisi peluru,  setiap kelopak 10 butir peluru iaitu 10 butir kedudukan berdiri dan 10 butir kedudukan melutut. Setelah siap mendengar arahan tersebut aku mula menjalani latihan menembak sambil diperhatikan oleh jurulatih lapang sasar. Seperti biasa lah kan, sebarang kesalahan di dalam lapang sasar tidak dibenarkan sama sekali kerana peluru yang digunakan adalah peluru hidup. Jadi faham-faham lah kan kalau terkena peluru hidup pada manusia apa yang akan terjadi. Setelah semua detail selesai menghabiskan peluru 20 butir tersebut, barulah dikira rekod tembakan tersebut.  Dan markah tembakan diambil untuk mengiktiraf pelatih yang cemerlang dalam tembakan. 

Catat Ulasan

0 Ulasan